Datuk Misbun Sidek nampaknya tidak akan kembali semula ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila dilaporkan telah menolak tawaran menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara sehingga hujung tahun ini.

Menurut laporan Berita Harian, Misbun menyatakan keputusan itu menerusi surat jawapan yang dihantar kepada BAM, semalam.

Semalam, pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad hadir ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi menyerahkan surat jawapan balas jurulatih berkenaan namun isi kandungannya tidak didedahkan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada BAM dan difahamkan mereka akan membuat pengumuman selepas menerima lampu hijau daripada Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang ketika ini berada di luar negara

Kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan jurulatih berkenaan tercetus apabila Misbun mendakwa beliau ditamatkan kontrak tanpa persetujuan bersama seperti diumumkan oleh BAM.

Jurulatih yang berusia 63 tahun itu berkata, BAM membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya atau dipanggil untuk membela diri.

Malah, Misbun berkata dia adalah mangsa atas kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, dua minggu lalu ketika beliau hanya bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.

Norza kemudian tampil memohon maaf kepada Misbun sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.

Untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan, beliau menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.